INDAHNYA POLIGAMI

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

Pernikahan satu ibadat - Salih sedia lengkapkan kuota empat isteri

SALIH bersama isteri ketiganya, Nor Farawahida. Isteri pertama dan keduanya sedang mengerjakan umrah.

NAMA pelakon, pelawak dan penyanyi Salih Yaacob tiba-tiba menjadi hangat gara-gara dikatakan akan bernikah dengan seorang anak ahli perniagaan bergelar Tan Sri. Mereka dijadualkan berkahwin kelmarin (13 Mac) di ibu kota.

Rancangan perkahwinan itu menjadi panas dan heboh kerana jika ia berlangsung, ia membawa makna Salih akan bernikah buat kali keempat. Kata orang, Salih cuba melengkapkan kuota empat isteri selepas mempunyai tiga isteri iaitu Norliza Mamat, 46, Noraha Hamat, 40 dan Nor Farawahida Sulaiman, 31.

SensasiBintang berbicara dengan Salih, 48, bapa kepada 11 orang anak mengenai rancangan perkahwinan itu. Dalam temu bual itu, tutur bicaranya amat tersusun. Salih menjernihkan gosip tersebut selain bercakap tentang poligami yang telah menjadi darah dagingnya sejak berbelas tahun lamanya.

SensasiBintang: Sejauh manakah kebenaran gosip minggu lalu yang mengatakan anda akan bernikah dengan seorang anak Tan Sri?

SALIH: Memang ada kebenaran. Kita memang ada merancang, tapi ada masalah yang tidak dapat dielakkan berlaku. Jadi kita tunda pernikahan itu. Bagi saya, pernikahan adalah satu ibadat.

Jadi bila sebenarnya anda berkahwin lagi?

Sebenarnya, itu hanya satu perancangan. Saya juga nak beritahu, saya tidak pernah berjumpa dengan wanita yang akan saya kahwini ini. Kami baru berkenalan selama sebulan lebih.

Kami hanya berhubung menerusi telefon dan saya hanya pernah melihat gambarnya. Asalnya, dia ialah peminat saya. Kemudian dia terlibat dalam kemalangan dan koma. Dia hanya mendengar suara saya di Sinar FM.

Terus terang saya katakan, perkahwinan ini diatur oleh keluarganya. Saya menerima dengan hati yang terbuka kerana percaya ini adalah takdir dan kerja Tuhan.

Bagaimanapun, selepas gosip tersebut tersebar, kami terputus hubungan. Dia tidak lagi menghubungi saya. Jadi saya tak berani nak cakap bahawa kami akan berkahwin. Kita lihat sajalah nanti.

Jika tidak kenal, bagaimana anda boleh bersetuju untuk berkahwin?

Saya tidak menolak takdir. Apa yang Tuhan beri kepada saya, saya terima. Mungkin ini cara Tuhan tolong saya beribadat.

Adakah anda berkahwin sebab ingin menolong, bukan kerana cinta?

Jujurnya, saya bukan tak ada peminat lain yang macam itu. Tapi mungkin sebab Tuhan nak bagi saya rezeki dengan cara berkahwin dengan dia. Kalau perkahwinan ini boleh membantu dan memulihkan dia, apa salahnya.

Apa kata ketiga-tiga isteri anda sekarang? Adakah mereka izinkan anda berkahwin empat pula?

Mereka izinkan dan tidak membantah. Perjalanan saya pun sudah tiga. Jadi kalau menyambungnya menjadi empat pun tak salah. Hanya saya perlu memilih orang yang ada pegangan yang sama dengan saya.

SALIH bersama sebahagian daripada sepuluh anaknya hasil tiga perkahwinannya.

Apakah cara anda menjaga keharmonian berpoligami?

Iman. Percaya pada Rukun Iman. Itu sahaja kunci saya. Dulu, masa nak kahwin isteri pertama, saya bercinta dengan orang lain, saya bertunang dengan orang lain dan akhirnya berkahwin dengan isteri saya. Sejak kecil, saya memang berpegang kepada iman.

Katakan kalau ada jodoh dan ditakdirkan berkahwin kali keempat, adakah anda mampu memikul tanggungjawab besar itu?

Selama ini memang saya seorang yang menanggung keluarga. Semua isteri saya tidak bekerja dan saya mempunyai 11 orang anak. Yang sulung sudah berusia 24 tahun, yang nombor 11, insya-Allah akan lahir dalam masa empat bulan lagi.

Saya percaya setiap keluarga yang saya bina ada rezeki masing-masing. Alhamdulillah, berbelas tahun saya kahwin, rahmat Allah terus bersama saya.

Apakah pandangan anda tentang berlaku adil, mengimbangi dan bertanggungjawab dalam hubungan dengan isteri?

Mengimbangi isteri-isteri umpama sejadah buat saya. Mereka adalah amanah dan ibadat buat saya. Dari dulu, saya tak pernah kejar apa-apa dalam hidup. Saya pun tak rancang untuk beristeri banyak. Tapi saya menerima ketentuan Tuhan untuk berpoligami. Kalau cakap tentang tanggungjawab, sebenarnya kalau nak fikir satu pun belum tentu mampu. Tapi ini kerja Allah, maka ia akan jadi mampu.

Ada persepsi kononnya lelaki yang berpoligami lebih menjurus kerana nafsu?

Saya tak kahwin sebab nafsu semata-mata. Pernikahan adalah ibadat, ini rezeki dan ilmu saya. Kita di dunia, sama-sama dipinjamkan, jadi jagalah semuanya dengan baik.

Apakah tip anda untuk orang yang mahu berpoligami?

Saya tidak ada tip, sebab setiap orang mempunyai takdir berbeza. Jangan berpoligami untuk merosakkan iman. Ingatlah Tuhan memberi kepada orang yang mampu.

Adakah anda ada hasrat untuk menghimpunkan semua isteri anda sebumbung?

Kalau saya kaya raya sekali pun, saya tak akan kumpulkan semua isteri saya serumah. Saya kena jaga hati semua orang. Dalam setiap rumah tangga saya, saya harus berlaku adil. Jangan tunjuk hebat untuk himpun semua isteri satu rumah kerana ini bukan tuntutan agama. - MALIAH SURIP

Say your words